top of page

Mega Bazaar Bakal Menjadi Perhimpunan Usahawan Online Terbesar


Berita baik untuk anda yang gemar membeli-belah secara atas talian! Mega Bazaar 2014, satu karnival yang menghimpunkan usahawan online bakal dianjurkan pada 21 dan 22 Jun depan. Mengambil inspirasi dari Grand Bazaar di Turki yang merupakan antara tapak jualan tertutup terbesar di dunia, karnival yang dianjurkan oleh Eh Eh Bazaar Sdn. Bhd. dengan kerjasama dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Purajaya dan Kolej UNITI ini menyasarkan penyertaan sebanyak 1200 usahawan Bumiputera yang menggunakan medium digital sebagai platform perniagaan.


Dari jualan pakaian dan aksesori seperti beg tangan, cermin mata, kanta lekap dan kasut, produk-produk kesihatan dan kecantikan, hinggalah kepada kelengkapan rumah dan khidmat perunding majlis, penganjur Mega Bazaar bercita-cita mahu menyenaraikan acara ini ke dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Perhimpunan Usahawan Online Terbesar’ yang pernah dianjurkan di dalam negara.



Akan mengambil tempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), pengunjung juga pastinya bakal rambang mata dengan harga-harga promosi terbaik yang bakal ditawarkan oleh usahawan-usahan yang terbabit sepanjang dua hari bazaar dianjurkan. Jika selalunya usahawan ini cuma berniaga melalui platform digital, pengunjung-pengunjung Mega Bazaar berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri barangan yang dijual. Penyertaan 50 Personaliti Popular Selain dari usahawan atas talian, Mega Bazaar turut menyenaraikan penyertaan lebih dari 50 artis tempatan yang akan mempamer dan menjual produk-produk mereka sendiri. Antara yang sudah mengesahkan penyertaan adalah Neelofa, Mila Jirin, Afdlin Shauki, Mawi & Ekin, Adira, Yana Samsuddin, Eira Syazira, Nabil Raja Lawak, Mizz Nina, Ameer Fourteen dan bintang bola sepak negara, Fahmi Apex.


Hiburan di pentas utama pula akan melibatkan persembahan khas dari pengasas De Herbs, Datuk Aliff Syukri, Jutawan Internet Urfan Khairi serta pertunjukan fesyen dari usahawan-usahawan terlibat. Usahawan-usahawan yang berminat boleh mendapatkan tapak jualan dari harga serendah RM400 untuk dua hari tempoh bazaar, lengkap dengan pelbagai kemudahan, antaranya tapak berhawa dingin, fasiliti asas dan tram pengangkutan. Dengan 50% tapak jualan sudah ditempah, usahawan online dari sekitar Malaysia yang berminat untuk menyertai Mega Bazaar 2014 boleh menghubungi pihak penganjur di talian 012-2920131.


Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Instagram App Icon
  • YouTube Classic
bottom of page